Agong berkenan berangkat ke hari kedua Mesyuarat Raja-Raja ke-261
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan berangkat menghadiri hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-261 di Istana Negara, hari ini.
Istana Negara dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, memaklumkan Mesyuarat Majlis Raja-Raja itu telah dipengerusikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Mesyuarat selama dua hari bermula semalam itu berlangsung selepas kali terakhir diadakan pada 29 dan 30 November 2022 lepas yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir,” menurut hantaran itu.
Turut berangkat, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin , Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Sultan Johor Sultan İbrahim Sultan Iskandar, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Badlishah.

Turut berangkat, Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra.
Mesyuarat turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, manakala Sarawak diwakili Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir dalam mesyuarat hari ini dan Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang di-Pertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri.

Sementara itu Speaker DUN Sarawak diiringi Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. – Malaysiapost