DAP kuasai Ahli Majlis MBI – Ahmad Faizal
TIMBALAN Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mengucapkan ‘tahniah’ kepada DAP yang berjaya menguasai lantikan Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Dalam satu hantaran di laman Facebooknya, bekas Menteri Besar Perak itu turut memuatnaik senarai 25 Ahli Majlis MBI yang dilantik bagi tempoh 16 Februari 2023 hingga 15 Februari 2024.

“Tahniah atas lantikan sebagai Ahli Majlis Bandaraya Ipoh. Semoga semua dapat memberi perkhidmatan dengan baik.
“Tahniah DAP, berjaya kuasai Majlis Bandaraya Ipoh. MCA dan MIC tiada wakil,” sindirnya.
Berdasarkan senarai Ahli Majlis berkenaan, 11 daripada Ahli Majlis MBI adalah terdiri daripada wakil DAP, manakala PKR seramai enam wakil, Barisan Nasional (BN) seramai lima wakil dan Amanah seramai dua wakil.
Pada Pilihan Raya Umum yang lalu, Pakatan Harapan (PH) menguasai kesemua tiga Parlimen di Ipoh termasuk Tambun yang dimenangi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menewaskan Ahmad Faizal sebagai penyandang.
PH turut menguasai kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah berkenaan kecuali DUN Manjoi yang dimenangi calon Perikatan Nasional (PN). – Malaysiapost