Farm Fresh perkenal ‘Menu Julia’ RM1.50 untuk kakitangan
FARM Fresh Bhd memperkenalkan ‘Menu Julia’ iaitu hidangan lengkap dengan minuman berharga RM1.50 untuk kakitangan syarikat itu hampir dua tahun lalu.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh, Azmi Zainal, inisiatif itu bagi meringankan kos sara hidup seramai 450 kakitangan syarikat yang bertugas di Muadzam Shah, Pahang.
“Kami dah buat menu ‘Rahmah’ untuk staf ini hampir dua tahun tapi kami namakan ‘Menu Julia’.
“Mereka cuma bayar RM1.50 sahaja untuk sekali makan termasuk air sirap. Dengan adanya inisiatif ini bolehlah staf Farm Fresh berjimat dan mempunyai lebihan duit gaji untuk keluarga,” katanya menerusi Facebook.

Azmi menjelaskan, syarikat boleh menawarkan hidangan lengkap dengan harga murah kerana semua bahan mentah seperti lembu, ikan, ayam dan sayur ditanam dan dibela sendiri.
“Macam-macam kami tanam dan bela. Kami tanam sawi, bayam, kacang panjang, terung, bendi. Kami bela ikan keli, talapia, ayam kampung, itik, lembu.
“Siap ada staf khas untuk jaga tanaman dan ternakan. Namun, ada juga yang dibeli seperti ikan kembung atau tenggiri.
“Chef kami pula dah tentulah chef Julia. Julia kalau masak boleh makan sampai tiga pinggan,” katanya.

Menurutnya, dulu Julia adalah kakitangan perancangan pengeluaran tetapi ditukarkan ke bahagian dapur kerana masakannya sentiasa sedap dan berkhasiat.
“Banyak pahala kau Julia…begitulah terbitnya nama Menu Julia,” katanya.
Mulai bulan ini, kerajaan memperkenalkan Menu Rahmah yang berharga RM5 bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama golongan B40. – Malaysiapost