Hafidz cerai isteri talak satu menerusi telefon

Hafidz cerai isteri talak satu menerusi telefon

KEMELUT rumah tangga pelakon Hafidz Roshdi dan isteri, Nurul Shuhada Mat Shukri yang menjadi bualan ramai sejak kebelakangan ini akhirnya dinoktahkan.

Pelakon berusia 29 tahun itu sah bercerai talak satu dengan Nurul Shuhada menerusi panggilan telefon semalam.

Perkara itu dimaklumkan adik Nurul Shuhada yang hanya mahu dikenali sebagai Sofia.

Menurut Sofia, Hafidz melafazkan cerai menerusi panggilan telefon dan kini sedang menunggu tarikh perbicaraan di mahkamah.

“Ya betul, Hafidz dan Shu (Nurul Shuhada) bercerai talak satu melalui panggilan telefon di hadapan keluarga masing-masing.

“Sekarang, Shu masih berbincang dengan peguam untuk proses tuntutan dan sebagainya.

“Mungkin akan dapat tarikh perbicaraan, minggu depan,” katanya lapor Berita Harian.

Difahamkan Nurul Shuhada bakal memfailkan cerai di Mahkamah Kuala Lumpur pada 1 Mac iaitu pada hari lahirnya.

Menurut Sofia, Nurul Shuhada dan Hafidz berdepan masalah rumah tangga sejak tahun lalu selepas kehadiran Athira Yuhada yang didakwa menjadi orang ketiga.

“Hafidz dan Shu tak duduk sebumbung, sejak minggu ini. Sebelum ini, masih boleh tinggal sekali.

“Kita doakan kebenaran untuk Shu dan anak-anaknya. Semoga Athira dan Hafidz diberikan hidayah oleh Allah,” katanya.

Terdahulu, kemelut rumah tangga Hafidz mula diperkatakan ramai apabila isterinya mendedahkan pelakon itu ada hubungan dengan wanita lain.

Untuk rekod, Hafidz mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata. – Malaysiapost

Komen