Haram letak al-Quran, surah Yasin bawah bantal

Haram letak al-Quran, surah Yasin bawah bantal

MELETAKKAN al-Quran atau surah Yasin di bawah bantal ketika tidur seperti yang diamalkan sebahagian masyarakat Islam adalah haram hukumnya.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi Facebooknya menjelaskan perbuatan itu boleh dianggap sebagai merendah-rendahkan martabat al-Quran dan ilmu agama.

“Haram hukumnya tidur beralaskan al-Quran, surah Yasin atau apa-apa surah daripada al-Quran dan kitab-kitab agama, atau meletakkannya di bawah bantal,” katanya dalam slot Al-Kafi li al-Fatawi yang turut disiarkan di laman sesawangnya.

Ia bagi menjawab persoalan mengenai hukum tidur beralaskan al-Quran atau meletakkan mushaf dan naskhah surah Yasin di bawah bantal seperti yang diamalkan sebahagian masyarakat.

PMWP menjelaskan ramai ulama bersepakat bahawa haram perbuatan meremehkan atau menghina al-Quran, sebaliknya wajib memulia dan memelihara mushafnya.

“Antara perbuatan yang boleh dikira sebagai merendahkan kemuliaan al-Quran ialah menjadikannya sebagai alas kepala ketika tidur,” katanya.

Menurutnya, ramai ulama bersepakat haram perbuatan berkenaan haram walaupun bagi tujuan untuk menghindari daripada gangguan jin.

Sehubungan itu, umat Islam disaran membaca petikan al-Quran seperti Ayatul Kursi atau zikir dan doa ma’thur iaitu amalan lazim Rasulullah SAW untuk mengelakkan gangguan itu.

Bagaimanapun PMWP berkata, ada ulama yang memberikan pengecualian sekiranya individu itu amat bimbang al-Quran atau kitab agama tersebut kemungkinan dicuri. – Malaysiapost

Komen