Idris nafi pernah janji turunkan kos sara hidup
AHLI Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad menafikan beliau pernah berjanji bahawa kos sara hidup akan turut jika kerajaan ditadbir oleh PAS.
Ia selepas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ketika menafikan pernah berjanji akan menurunkan kos sara hidup apabila menjadi kerajaan, mendakwa Idris pula sebaliknya yang membuat janji sedemikian.
Beliau sebaliknya menjelaskan apa yang dinyatakan dalam ceramahnya 10 tahun dahulu adalah jika Umno kalah dan langsung tiada kaitan dengan kos sara hidup.
Bekas menteri agama itu juga memuatnaik video 10 tahun lalu bagi menafikan dakwaan Rafizi.
“Fitnah Rafizi bahawa saya cakap waktu jadi menteri akan turun kos sara hidup. Rafizi kata ada rakaman, sedangkan dalam video tersebut ucapan 10 tahun dahulu ceramah d Kelantan.
“(Ketika itu) PAS masih dalam Pakatan Rakyat. (Apa yang saya nyatakan) Kalau Umno kalah, bukan bab sara hidup seperti yang didakwa,” katanya.
Semalam di Dewan Rakyat, Rafizi menafikan beliau pernah berjanji kepada rakyat untuk menurunkan harga barang dalam tempoh dua minggu selepas menjadi kerajaan.
Rafizi menjawab kenyataan Datuk Rosol Wahid (PN – Hulu Terengganu) yang mempersoal kenapa harga barang tidak turun dalam tempoh dua minggu selepas menjadi menteri seperti dijanjikan walaupun dengan pelbagai formula. – Malaysiapost