Isham jahil budaya mandiri Pas
AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman menemplak tindakan Ketua Penerangan Umno Isham Jalil yang dilihat memperlekehkan status kewangan Pas serta budaya bersedekah di kalangan parti itu.
Menurutnya, nilai-nilai positif telah dididik dalam warga Pas seperti budaya kemandirian demi kelangsungan perjuangan parti itu, termasuklah budaya bersedekah yang sememangnya wujud dalam agama Islam.
Beliau berkata, apabila sebut mengenai sedekah, ia suatu takrifan umum yang tidak hanya tertakluk kepada pihak tertentu sahaja dan sedekah kepada atau daripada Pas tidak sekadar melibatkan ahli-ahli parti mereka semata-mata.
“Jadi jangan fikir apabila kamu memperleceh dan mengejek status kewangan Pas serta budaya bersedekah di kalangan mereka, maka rakyat khususnya di Selangor akan menyokong puak kamu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
“Kerana budaya bersedekah dan menyumbanglah maka warga Pas terutamanya Melayu Kelantan yang merantau di luar Kelantan cukup mandiri dengan pelbagai jenis perniagaan mereka.
“Mereka turut menyumbang kepada ekonomi Bumiputera termasuklah di negeri Isham Jalil sendiri, Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Isham semalam yang secara sinis mempersoalkan bagaimana Pas ingin membantu Bersatu dari segi dana bagi menghadapi enam PRN yang akan diadakan tidak lama lagi.
Isham merujuk kepada kenyataan media Ketua Dewan Ulama Pas, Nik Muhammad Zawawi Salleh yang mengatakan Pas bersedia memberikan dana kepada Bersatu bagi untuk menghadapi PRN berikutan akaun rakan Bersatu telah dibekukan.
Justeru itu Muhammad Faiz, menggesa agar Isham tidak memperlekeh kenyataan Nik Muhammad Zawawi yang berniat baik untuk saling membantu kewangan parti sahabat seperti Bersatu demi perjuangan agama, bangsa dan tanah air. – Malaysiapost