Kaji semula subsidi elektrik T20

Kaji semula subsidi elektrik T20

SUBSIDI tarif elektrik bagi pengguna domestik kategori T20 perlu dikaji semula kerana golongan itu dilihat berkemampuan untuk membayar tarif yang lebih kompetitif.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, subsidi bersasar dalam tarif elektrik wajar dilaksanakan bagi memastikan hanya golongan sasar memperoleh manfaatnya.

“Kita ada kerangka Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) untuk tetapkan tarif harga elektrik. Buat masa ini, kita masih melindungi dan kekalkan kadar sama bagi pengguna domestik walaupun T20.

“Perkara itu perlu difikirkan semula pada masa depan kerana kalau cakap soal tarif untuk T20, mereka dapat gaji besar dan perlu bayar tarif lebih kompetitif.

“Untuk M40 dan B40, saya setuju kita perlu melindungi mereka,” katanya ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, di Dewan Rakyat, hari ini.

Tahun lalu, kerajaan memutuskan, tarif elektrik bagi pengguna bukan domestik bervoltan sederhana dan tinggi dikenakan surcaj pada kadar 20 sen/kWj.

Nik Nazmi turut mempertahankan kenaikan surcaj berbanding 3.7 sen/kWj sebelum ini kerana ia membabitkan operasi besar dan kerajaan tidak boleh meneruskan subsidi korporat.

Menurutnya, kerajaan akan memberi kadar tarif lebih baik kepada beberapa syarikat yang perkhidmatannya boleh memberi kesan kepada rakyat, termasuk utiliti melalui kitaran ICPT akan datang.

“Saya setuju ada beberapa syarikat terkesan (jika berlaku kenaikan tarif). Contohnya, syarikat utiliti yang memberi perkhidmatan kepada rakyat dan kita akan beri kadar lebih baik kepada mereka.

“Kita tidak boleh meneruskan subsidi korporat kerana korporat mendapat keuntungan besar berbanding kadar gaji dan sebagainya.

“Kita kena beralih kepada subsidi bersasar yang memberi manfaat kepada rakyat secara langsung,” katanya.

Nik Nazmi berkata, kerajaan juga akan menggubal perundangan dalam soal keberkesanan tenaga supaya syarikat mengkaji cara lebih efisien untuk menghasilkan sesuatu produk. – Malaysiapost

Komen