Kanak-kanak terjatuh dalam sungai ditemui lemas pada hari ke-2 SAR

Kanak-kanak terjatuh dalam sungai ditemui lemas pada hari ke-2 SAR

KANAK-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang dilaporkan terjatuh di Sungai Sabang, Kampung Tambirat Hilir, Asajaya, Sarawak, petang semalam ditemui lemas pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR), hari ini.

Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya, Mosli Salim, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 4.50 petang semalam yang memaklumkan berlakunya kejadian orang jatuh sungai di Kampung Tambirat Hilir.

Menurutnya, bertindak atas maklumat awal, anggota bertugas seramai lapan orang ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi SAR.

“Pada hari pertama pencarian, pasukan bomba bertindak menggunakan teknik pencarian di permukaan sungai di lokasi mangsa terjatuh namun sehingga jam 7 malam tidak menemui sebarang petunjuk penemuan mangsa.

“Operasi ditangguhkan dan disambung hari ini bermula jam 7.30 pagi dengan pencarian di pesisir tebing sungai.

“Pada jam 11.20 pagi, mangsa telah ditemui di sebalik batu pada jarak satu meter dari lokasi mangsa terjatuh dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, operasi SAR berkenaan turut membabitkan pihak PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Angkatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (Rela). – Malaysiapost

Komen