KPT tak halang aktivis politik dalam kalangan pelajar – Khaled

KPT tak halang aktivis politik dalam kalangan pelajar – Khaled

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) tidak menghalang aktivis politik dalam kalangan pelajar, dan meminta agar Institut Pengajian Tinggi (IPT) memberi kerjasama serta menyokong kebebasan itu tanpa sekatan dan halangan.

Menterinya, Datuk Seri Khaled Nordin, berkata ia seiring pemansuhan Seksyen 15(2)(c) dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan Seksyen 10(2)(c) dalam Akta Institusi-institusi Pelajaran pada 2019.

Katanya, pemansuhan tersebut sekali gus membenarkan pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) melibatkan diri dalam politik kepartian di dalam dan luar kampus, termasuk bertanding sebagai calon pilihan raya.

“Bagi meningkatkan literasi mahasiswa terhadap pelaksanaan Undi 18 serta melahirkan mahasiswa yang prihatin dengan sistem pemerintahan negara, pelbagai program pendidikan pengundi telah dilaksanakan kepada mahasiswa dengan kerjasama Akademi Pilihan Raya (APR) dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Penggulungan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Khaled berkata, sehingga kini, seramai 252,188 orang mahasiswa IPTA telah mengikuti pelbagai bentuk program pendidikan pengundi melalui 200 program yang telah dijalankan. – Malaysiapost

Komen