Penduduk pangsapuri terputus bekalan air gara-gara tunggakan bil RM170,000

Penduduk pangsapuri terputus bekalan air gara-gara tunggakan bil RM170,000

PENDUDUK Apartmen Putra Ria, Kuala Lumpur terputus bekalan air berpunca tunggakan bil Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berjumlah RM170,000 yang tidak dilunaskan sehingga kini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata berdasarkan rekod pengurusan sebanyak 358 unit rumah iaitu 54.2 peratus mempunyai hutang dengan pihak pengurusan sebanyak RM2.47 juta.

“Isunya terlalu ramai yang tidak bayar bil maintenance bulanan, walaupun peringatan telah dibuat oleh pengurusan. Bil bulanan antara RM49 ke RM53 seunit,” katanya dalam hantaran Facebook, malam tadi.

Fahmi berkata, pihak Air Selangor bagaimanapun telah bersetuju untuk membuka semula bekalan air kepada penduduk pangsapuri itu malam tadi.

“Sementara waktu, pihak Air Selangor telah bersetuju untuk membuka semula air malam ini,” ujarnya.

Dalam masa sama, Fahmi memaklumkan akan mengadakan pertemuan dengan Air Selangor dan pengurusan Apartmen Putra Ria hari ini, bagi mencari penyelesaian terbaik.

“InshaAllah saya akan bertemu pihak Air Selangor, pengurusan Putra Ria serta persatuan penduduk esok (hari ini) bagi mencari penyelesaian terbaik,” katanya. – Malaysiapost

Komen