Pengerusi IKIM meninggal dunia
BEKAS Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan meninggal dunia hari ini.
Allahyarham yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) meninggal dunia pada usia 80 tahun.
Beliau adalah tokoh pemikir Islam yang memberikan sumbangan besar kepada dunia akademik, penyelidikan, pendidikan serta pembangunan modal insan.
Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari menerusi hantaran di Facebook, memaklumkan Mohd Kamal meninggal dunia disebabkan komplikasi berkaitan prosedur pembedahan.
“Takziah saya rakamkan kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan, Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang meninggal dunia pada usia 80 tahun awal pagi ini.
“Allahyarham merupakan anak kelahiran Pasir Mas juga bekas rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) meninggal dunia disebabkan kompilasi berkait rapat dengan prosedur surgery,” katanya dalam hantaran itu, sebentar tadi.
Mohd Kamal dilantik sebagai Pengerusi IKIM pada Februari 2022.
Allahyarham dilantik sebagai Rektor UIAM pada tahun 1999 sehingga 2006.
Beliau turut berperanan sebagai Pengerusi, Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam, sebuah lembaga yang ditubuhkan dengan perkenan Majlis Raja-Raja. – Malaysiapost