Pihak kecam HIMPIT 2023 terikut Islamofobia – Hadi
TAN Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan pihak yang mengecam penggunaan replika senjata dan kostum tentera Islam dalam perarakan program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2023 Jumaat lalu, seolah-olah terikut dengan Islamofobia.
Presiden PAS itu mendakwa golongan terbabit juga sudah menggambarkan kedudukan Islam itu sebagai agama yang menakutkan.
“Apa yang mereka takut sangat pada Islam ini. Seolah-seolah Islamofobia dengan pelbagai tuduhan, tohmahan, fitnah yang dilakukan.
“Orang Islam bawa pedang kayu pun takut, sedangkan musuh Islam guna senjata nuklear yang memusnahkan, yang diharamkan oleh Islam tak apa. Umat Islam bawa pedang kayu tak boleh,” katanya ketika berucap di Ampang, malam tadi.
Abdul Hadi berkata, malangnya ada pihak yang terpengaruh dengan naratif ketakutan yang cuba digambarkan pihak tertentu itu.
“Malangnya ada orang yang terpengaruh seolah-olah Islam ini menakutkan. Kejayaan Islam bukan dengan senjata, tetapi adil, hikmah,” katanya.
Penggunaan barangan replika pedang dan kostum pakaian tentera Islam berkait perarakan pada program HIMPIT 2023 Jumaat lalu mencetuskan polemik di media sosial.
Orang ramai mempersoalkan tindakan mereka membawa senjata secara terbuka dalam perarakan itu yang dikaitkan dengan keganasan dan provokasi.
HIMPIT 2023 diadakan di Pantai Penarik, Terengganu pada 17 Febuari lalu dan dirasmikan oleh Abdul Hadi.
Antara aktiviti diadakan dalam perhimpunan selama dua hari itu adalah perlawanan bola sepak, sepak takraw, dan konvoi bermotosikal.
Berikutan menimbulkan kegusaran ramai, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, dilaporkan berkata, pihaknya merampas replika senjata yang digunakan ketika perarakan HIMPIT 2023 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan. – Malaysiapost