PM guna beg songket bawa dokumen Belanjawan 2023 Malaysia Madani
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa meninjau persiapan terakhir Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Kementerian Kewangan, Putrajaya petang tadi.
Beliau yang juga Menteri Kewangan, turut menandatangani dokumen berkaitan belanjawan berkenaan yang akan dibentangkannya di Dewan Rakyat, esok.

“Saya juga sempat beramah mesra dengan kakitangan yang terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2023 Malaysia Madani.

“Insya-Allah, nantikan pembentangannya jam 4 petang esok,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Anwar berkata, tinjauannya turut disertai bersama dua Timbalan Menteri Kewangan iaitu Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim Chee Keong serta Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Datuk Johan Mahmood Merican.

Beberapa gambar tinjauan persiapan itu turut dikongsi dalam hantaran berkenaan termasuk gambar beliau memegang beg fail bercorak tenunan songket Sarawak yang dijangka digunakan untuk membawa dokumen Belanjawan 2023 esok. – Malaysiapost