PM sembah maklum kepada Agong Belanjawan 2023
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, esok.
Menerusi catatan di Facebook, Anwar berkata, perkara itu disembah maklum ketika beliau menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara hari ini, bagi urusan mesyuarat pra-Kabinet.
Esok, Anwar yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat.
Ia belanjawan pertama dibentangkan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.
Perdana Menteri pada 20 Disember lalu membentangkan peruntukan khas (Bajet Mini) di bawah Akta Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang berkuat kuasa 1 Januari 2023 bagi tujuan perbelanjaan perkhidmatan membabitkan wang sejumlah RM107,718,676,650.
Sebelum ini, Bajet 2023 yang disediakan kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak sempat dibahas dan diluluskan, sebelum terbubarnya Parlimen pada 10 Oktber 2022 bagi memberi laluan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – Malaysiapost