PRN: Calon BN guna lambang dacing – Ahmad Zahid
SEMUA calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang menggunakan lambang parti sendiri biarpun bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut memaklumkan pembahagian kerusi yang akan ditandingi dalam PRN sudah mula dibincangkan.
Bagaimanapun, beliau yang juga Presiden Umno menjelaskan ia masih belum dimuktamadkan lagi.
“Pembahagian kerusi akan dibincangkan dalam mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan.
“BN akan menjalin kerjasama antara parti politik sedia ada, tetapi calon BN akan kekal menggunakan lambang BN,” katanya mengulas perkembangan pembahagian kerusi bagi PRN akan datang.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan rasminya ke Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), di Putrajaya, hari ini.
Sebelum ini, enam negeri dilaporkan sepakat membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada dua minggu terakhir Jun bagi memberi laluan PRN.
Negeri itu ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dilaporkan berkata kesepakatan itu dicapai dalam satu pertemuan antara enam Menteri Besar serta Ketua Menteri di ibu negara semalam. – Malaysiapost