Program TVET mampu persiap pelajar dengan tuntutan industri – Khaled

Program TVET mampu persiap pelajar dengan tuntutan industri – Khaled

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu menjadi aliran pendidikan yang mengutamakan teknologi terkemuka dunia.

Menterinya, Datuk Seri Khaled Nordin, berkata usaha tersebut secara langsung mampu mempersiap pelajar aliran TVET dengan tuntutan industri.

“Program-program TVET dalam sektor pendidikan tinggi sedang diselaraskan kembali agar lebih menekankan apa yang dipanggil sebagai High Tech, High Art dan High Touch.

“Data menunjukkan 93.7 peratus lepasan Politeknik pada tahun 2021 berjaya menyertai alam pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Penggulungan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Khaled berkata, di samping itu yuran pengajian di Politeknik di seluruh negara sangat berpatutan berikutan subsidi yang disediakan kerajaan sehingga 90 peratus.

“Caj atau yuran yang dikenakan bagi program politeknik selaku penyedia utama program TVET, hanyalah sebanyak RM200 satu semester.

“Sedangkan yuran sebenar setiap semester adalah kira-kira RM1,850 bagi sijil dan RM2,100 bagi Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.

“Dalam hal ini, kerajaan sudah memberi subsidi sehingga 90 peratus,” ujarnya. – Malaysiapost

Komen