RCI buku Tommy: Memorandum dibentang ke Kabinet minggu depan
KERAJAAN tetap meneruskan cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai dakwaan dalam buku memoir bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bertajuk ‘My Story: Justice In the Wilderness’.
Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, memorandum mengenai perkara itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet pada 3 Mac ini.
Menurut Azalina, kerajaan bercadang meneliti dakwaan yang terkandung dalam buku berkenaan serta meneliti isu integriti dan kebebasan institusi kehakiman serta perundangan di Malaysia melalui RCI itu.
“Memorandum Jemaah Menteri berhubung perkara itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet yang akan diadakan pada 3 Mac ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum ini, Azalina dilaporkan berkata, penubuhan RCI bertujuan mencari kebenaran serta mengemuka syor kepada kerajaan bagi reformasi institusi perundangan, bukannya untuk mencari kesalahan mana-mana pihak.
Januari lalu, Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan RCI bagi meneliti secara menyeluruh Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan ke atas Dakwaan Dalam Buku Bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’.
Penubuhan itu selaras Akta Suruhanjaya Siasatan 1950, mengikut bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong. – Malaysiapost