Selamat kembali ke tanah air wira-wira Malaysia

Selamat kembali ke tanah air wira-wira Malaysia

SERAMAI 65 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat (MAS-10) yang menjalankan misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di wilayah Gaziantep, Turkiye selamat kembali dan tiba di tanah air hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pasukan itu tiba di tanah air dengan dua penerbangan Turkish Airlines.

Menurutnya, mereka terdiri daripada anggota pelbagai agensi iaitu Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selain tiga wartawan yang membuat liputan.

“Saya berkesempatan menyambut ketibaan penerbangan pertama yang tiba tengah hari tadi membabitkan 30 anggota dan tiga wartawan, manakala penerbangan kedua seramai 35 anggota lagi dijangka tiba jam 5 petang ini.

“Sementara itu, 70 anggota kumpulan pertama MAS-01 bersama lima anggota kumpulan kedua MAS-10 yang masih berada di Turkiye dijangka akan pulang dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keanggotaan bagi MAS-01 dan MAS-10 adalah seramai 140 orang, selain membabitkan dua anjing Unit Pengesan (K9).

“Kejayaan dapat menyelamatkan lima mangsa yang masih hidup adalah tugasan paling bermakna buat anggota penyelamat Malaysia yang terbabit dalam misi SAR selain berjaya mengeluarkan 47 mangsa yang telah meninggal dunia di bawah runtuhan.

“Pada masa sama sepanjang operasi petugas SAR Malaysia turut berdepan masalah kesihatan dengan sembilan anggota mengalami pelbagai masalah kesihatan seperti demam, kecederaan bahu dan lutut.

“Semua yang berkenaan telah pulih setelah mendapat rawatan pasukan perubatan selain seorang telah mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Ankara,” katanya.

Armizan berkata, pihak Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) juga telah menyampaikan penghargaan kepada semua Pasukan SAR Antarabangsa (USAR) termasuk Malaysia kerana telah bertindak pantas memberi bantuan.

“Professionalisme dan dedikasi responden antarabangsa yang bekerja dengan pasukan AFAD membuktikan solidariti sejak bermulanya operasi sehingga berakhir.

“Kerajaan amat menghargai segala pengorbanan dan khidmat bakti yang dilakukan semua anggota yang terlibat.

“Sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 16 Februari lalu, Kerajaan akan memberikan insentif khas kepada para petugas yang terlibat dalam bentuk pingat penghargaan dan elaun khas,” katanya. – Malaysiapost

Komen