Siasatan SPRM terhadap Hakim Nazlan diserah kepada Ketua Hakim Negara

Siasatan SPRM terhadap Hakim Nazlan diserah kepada Ketua Hakim Negara

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyerahkan laporan siasatannya terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Ghazali kepada Ketua Hakim Negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, bagaimanapun kerajaan tidak akan campur tangan kuasa Pendakwa Raya.

Jelasnya, perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh SPRM melalui surat bertarikh 21 Februari lalu.

Menurutnya, laporan itu berkaitan siasatan terhadap Mohd Nazlan yang didakwa melanggar Kod Etika Hakim 2009.

Bagaimanapun katanya, surat itu tidak mengandungi maklumat lanjut berhubung perkara terbabit.

“Perkara ini juga tertakluk kepada keputusan Ketua Hakim Negara selaras dengan Fasal-Fasal 3 dan 3A Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

“Di bawah Fasal 3 Perkara 145, Peguam Negara/Pendakwa Raya mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan apa-apa prosiding bagi kesalahan.

“Kuasa budi bicara yang diberikan kepada Peguam Negara di bawah Fasal 3 Perkara 145 amat luas dan boleh menuduh mana-mana orang termasuk seorang hakim sekiranya keterangan bagi sesuatu kesalahan memenuhi segala elemen pertuduhan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

SPRM sebelum ini dilapor membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan mengenai dakwaan ada sejumlah wang yang tidak dapat ditentukan punca dalam akaunnya.

Pada 29 September tahun lalu, SPRM mengesahkan sudah menyelesaikan kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan dan hanya menunggu arahan yang akan diberikan Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya. – Malaysiapost

Komen