SWN dan kepentingan untuk 5G di Malaysia

SWN dan kepentingan untuk 5G di Malaysia

Azam Hanifah

Teknologi 5G adalah inovasi teknologi yang menjadi fokus dunia dalam beberapa tahun terakhir. Teknologi ini dianggap sebagai teknologi yang dapat mengubah keadaan ekonomi dan memberikan kesan yang sangat besar pada industri dan masyarakat.

Di Malaysia, perkembangan teknologi 5G adalah suatu kemajuan penting yang menjanjikan banyak manfaat. Justeru, Kerajaan Malaysia mempunyai peranan yang sangat penting dalam memastikan perkembangan teknologi ini dapat dimanfaatkan dengan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia.

Kegagalan syarikat telekomunikasi swasta dalam penyediaan 4G di Malaysia sebelum kita membincangkan mengenai kepentingan Single Wholesale Network (SWN) dalam teknologi 5G di negara ini, kita perlu memahami mengapa pendekatan ini diperlukan oleh kerajaan Malaysia.

Salah satu masalah utama yang dihadapi oleh Malaysia adalah kegagalan syarikat telekomunikasi swasta dalam penyediaan perkhidmatan 4G yang berkualiti dan merata di seluruh negara.

Menurut Jabatan Audit Negara (JAN), kerajaan telah menghabiskan sekitar RM6 bilion untuk memastikan liputan rangkaian 4G dapat dicapai dengan lebih baik. Namun, hasilnya masih tidak memuaskan.

Terdapat kelemahan dalam usaha meningkatkan liputan rangkaian 4G dan syarikat persendirian telah gagal mengatasi masalah ini, syarikat telekomunikasi swasta memerlukan hampir tujuh tahun hanya untuk memberikan sekitar 80 peratus liputan 4G di negara ini.

Pada tahun 2018, kadar liputan 4G yang diketuai oleh syarikat telekomunikasi swasta hanya pada tahap 50 peratus dan pada tahun 2019, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaporkan bahawa hanya 89 peratus daripada kawasan bandar dan 64 peratus dari kawasan luar bandar di Malaysia mempunyai akses ke rangkaian 4G.

Ini bermakna terdapat kawasan yang masih tidak mendapat akses ke perkhidmatan internet yang cepat dan boleh mempengaruhi kemajuan Malaysia dalam ekonomi digital.

Ini jelas menunjukkan bahawa syarikat swasta tidak berada dalam posisi yang baik untuk diharapkan untuk menyediakan perkhidmatan 5G di seluruh negara.

Selain daripada itu, syarikat telekomunikasi swasta mempunyai kepentingan dalam memaksimumkan keuntungan dan meningkatkan nilai saham mereka serta memberi pulangan yang lumayan kepada pemegang saham syarikat.

Kecenderungan ini mungkin menyebabkan mereka enggan melabur dalam kawasan yang tidak memberikan keuntungan yang cukup atau memperbaiki liputan 5G yang tidak mencukupi.

Oleh itu, kehadiran SWN sebagai satu mekanisme untuk mempercepatkan penggunaan teknologi 5G di Malaysia merupakan suatu pendekatan yang sangat penting dan relevan dalam konteks kegagalan syarikat telekomunikasi swasta di Malaysia dan kepentingan awam.

Konsep SWN bermaksud semua rangkaian 5G akan disatukan di bawah satu entiti dan hanya satu syarikat yang akan bertanggungjawab untuk menguruskan rangkaian tersebut.

Pendekatan ini bertujuan untuk memastikan ketersediaan rangkaian yang luas, perkhidmatan yang berkualiti dan terjangkau kepada rakyat Malaysia.

Melalui SWN, kerajaan Malaysia dapat memastikan bahawa semua rakyat Malaysia dapat menikmati akses kepada teknologi 5G yang berkualiti dan terjangkau tanpa mengira kawasan atau latar belakang sosioekonomi.

Hal ini akan memastikan bahawa Malaysia dapat mempercepatkan pembangunan teknologi 5G dan memastikan bahawa kepentingan awam terjamin.

Selain daripada itu, perlaksanaan 5G melalui SWN iaitu Digital Nasional Berhad (DNB) dapat memastikan kos kepada pengguna terus berada di tahap rendah berbanding dengan kos perkhidmatan 4G yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi swasta.

Penting untuk kita fahami bahawa DNB hanya terlibat untuk menawarkan 5G pada harga pukal atau borong kepada syarikat telekomunikasi dan tidak terlibat secara ‘retail’ atau terus kepada pengguna.

DNB juga telah menawarkan harga serendah RM 12sen/GB kepada syarikat telekomunisi swasta. Ini membolehkan penjimatan kos 5G dapat dinikmati oleh semua baik rakyat mahupun perniagaan.

Dalam tempoh kurang daripada 2 tahun sejak penyediaan perkhidmatan 5G melalui Digital Nasional Berhad dilancarkan, kadar “Coverage of Populated Areas” atau COPA di bawah seliaan DNB telahpun mencapai 55 peratus berbanding dengan kadar COPA 4G bagi dua tahun pertama di bawah teraju syarikat-syarikat swasta iaitu 28 peratus.

Ini jelas menunjukkan bahawa keputusan Kerajaan untuk menawarkan perkhidmatan 5G melalui DNB adalah langkah yang tepat dan berkesan untuk memastikan bahawa kesan positif 5G dapat dinikmati oleh semua di negara ini pada harga yang lebih murah dan perkhidmatan yang lebih berkualiti serta bermutu tinggi.

Secara tuntasnya, kritikan daripada bekas Menteri Kewangan kedua yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa tidak mengambil kira kepentingan awam secara menyeluruh berkaitan dengan perlaksanaan 5G di Malaysia di samping bersikap selektif terhadap kegagalan jelas syarikat-syarikat telekomunikasi Malaysia ketika implementasi 4G sepanjang tempoh 2013 hingga 2020.

Tidak wajar untuk negara dan pihak awam meletakkan tanggungjawab berat penyediaan 5G kepada pihak yang lebih jelas mementingkan keuntungan daripada kepentingan awam. – Malaysiapost

[ Penulis adalah penyumbang artikel kepada Malaysiapost merupakan pelajar tahun akhir di sebuah universiti tempatan ]

Komen