Syabu seberat 1.8 tan bernilai RM64.8 juta dirampas

Syabu seberat 1.8 tan bernilai RM64.8 juta dirampas

POLIS berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah dengan rampasan dadah jenis syabu seberat 1.8 tan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM64.8 juta.

Ketua Polis Perlis, Surina Saad, berkata pada jam 4 pagi Sabtu lalu, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 2, Briged Utara dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perlis dan Pasukan Polis Marin menahan sebuah lori penunda.

Menurutnya, lori penunda terbabit membawa sebuah lori dan hasil pemeriksaan lanjut telah menemui 72 guni yang setiap guni berisi 25 bungkusan disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 1.8 tan bernilai anggaran RM64.8 juta.

“Terdapat lima suspek telah ditahan iaitu empat lelaki dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 29 hingga 49 tahun. Seorang daripada suspek turut cuba menyogok pihak polis dengan wang tunai berjumlah RM200,000.

“Namun pasukan serbuan telah menolak dan merampas wang tunai tersebut untuk tindakan di bawah akta pencegahan rasuah,” katanya dalam sidang media di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, pagi tadi.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ujian saringan awal air kencing mendapati dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Dadah yang dibawa masuk dari negara jiran itu dipercayai akan diedar ke selatan negara untuk kegunaan lebih kurang sembilan juta penagih dan ini merupakan tangkapan terbesar.

“Polis turut menyita pelbagai aset dianggarkan bernilai RM400,000 termasuk tiga buah kenderaan, barang kemas dan wang tunai,” katanya. – Malaysiapost

Komen