“Terbukti video saya dipotong ‘cytro’ PH” – Mohamad Shafiq

“Terbukti video saya dipotong ‘cytro’ PH” – Mohamad Shafiq

“ALHAMDULILLAH dibebaskan, terbukti bahawa video saya dipotong oleh cytro (cybertrooper) Pakatan Harapan (PH) untuk menimbulkan fitnah ke atas diri saya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Tan Sri Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya SPRM),” kata Mohamad Shafiq Abdul Halim.

Dalam hantaran di laman Facebook, malam tadi, pegawai kepada bekas Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan itu memaklumkan beliau dibebaskan selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Putrajaya petang semalam.

Beliau turut menyambut baik saranan pihak SPRM supaya menghormati siasatan dan pendakwaan di mahkamah.

Terdahulu beliau memaklumkan akan hadir ke pejabat SPRM bersama peguam kira-kira jam 2.30 petang semalam untuk memberi keterangan berhubung video dakwaan SPRM tawar RM10 juta kepada Wan Saiful yang ditularkan sejak kelmarin.

“Saya menjangkakan kemungkinan besar saya akan direman hari ini (semalam) mengikut pandangan peguam, walaubagaimanapun doa anda bersama saya. Saya harap dapat tidur lena malam ini,” katanya dalam hantaran itu semalam.

Dalam hantaran terbaharunya malam tadi, beliau turut membuat ‘live’ di Facebook bagi menjelaskan keadaan terkininya selepas memberi keterangan.

“Saya tak boleh komen apa-apa, mengenai beliau (Wan Saiful) letak jawatan…komen apa-apa sahaja (SPRM), cuma nak tunjuk muka beritahu saya sihat dan sebagainya.

“Saya pun dah buat permohonan maaf kepada Tan Sri Azam Baki dan juga kepada semua pegawai SPRM seluruh Malaysia,” katanya.

Sementara itu terkini dalam satu sidang media, Azam dilapor mengesahkan individu yang mendakwa SPRM menawarkan RM10 juta kepada Wan Saiful untuk menganiaya bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah ditahan.

Menurutnya, lelaki itu ditahan selepas hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya petang semalam.

“Kita telah mengambil tindakan yang mana kita buat laporan dan buka siasatan terhadap orang ini. Semalam SPRM menahannya.

“Walaupun saya tahu dia telah membuat permohonan maaf dalam Facebook, ini satu perkara yang saya tegaskan sekali lagi saya secara peribadi tidak ampunkan orang begini yang merosakkan reputasi SPRM dengan membuat tuduhan liar,” katanya.

Azam berkata, akibat daripada kenyataan itu, satu spekulasi yang amat tidak baik telah ditimbulkan terhadap SPRM sedangkan pernyataan berkenaan tidak boleh dipadamkan, dan masih ada rakyat yang mempercayai dakwaan tersebut.

Mengulas lanjut, Azam berkata, individu berkenaan disiasat mengikut Seksyen 48 Akta SPRM 2009 kerana mengganggu siasatan berkaitan projek Jana Wibawa. – Malaysiapost

Komen