62 jemaah Malaysia terkandas di Jakarta sudah berlepas ke Tanah Suci
SERAMAI 62 jemaah umrah dari Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Soekarno – Hatta, Jakarta telah selamat berlepas ke Jeddah menggunakan penerbangan Saudi Airlines, pagi tadi.
Pihak pengurusan EMRAZ Travel & Tours, dalam kenyataan berkata kesemua jemaah berlepas secara tiga peringkat dan penerbangan kumpulan pertama akan tiba di Jeddah pada jam 11.28 pagi (4.28 petang waktu tenpatan).
“Isu kelewatan timbul akibat masalah teknikal melibatkan tiket penerbangan yang menyebabkan jemaah umrah tersebut tidak dibenarkan untuk mendaftar masuk ke penerbangan dari Jakarta ke Jeddah.
“Tindakan pantas pihak pengurusan syarikat telah berjaya menyelesaikan isu tersebut dan jemaah yang terkesan telah dibawa ke hotel penginapan sementara menunggu jadual penerbangan mereka yang berikutnya.
“Situasi ini boleh berlaku sewaktu transit terutama melibatkan musim yang padat seperti cuti sekolah dan pihak syarikat sentiasa memastikan kebajikan jemaah sentiasa dijaga,” menurut kenyataan itu hari ini.
Semalam, seramai 62 jemaah umrah dari Malaysia terkandas di di Lapangan Terbang Soekarno – Hatta, Jakarta.
Ia berikutan kesemua jemaah dari Malaysia itu tidak dibenarkan berlepas ke Tanah Suci Mekah oleh pihak berkuasa Indonesia susulan tiada tiket balik dari Jeddah, Arab Saudi.
Jemaah yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 2 petang semalam dijadualkan untuk transit di Jakarta sebelum berlepas ke Jeddah pada jam 7 malam tadi.
Kumpulan jemaah itu dilaporkan akan menunaikan ibadah umrah bermula Khamis hingga 7 Mac depan.
Namun, kesemua mereka tidak dibenarkan berlepas berikutan pihak agensi pelancongan tidak membeli tiket balik dari Jeddah.
Sementara itu, pihak EMRAZ Travel memaklumkan bagi mendapatkan maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi talian tetap Pengurus Komunikasi Pemasaran, Ashalia Yusof 017-6399836 atau marcomm@emraztravel.com. – Malaysiapost