Adun Chini umum tanding jawatan Timbalan Ketua Umno Pekan
AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Chini, Mohd Sharim Md Zain mengumumkan sedia bertanding bagi jawatan peringkat bahagian Pekan.
Jika 16 Februari lalu Adun Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff menawarkan diri bertanding jawatan ketua Umno Pekan, Mohd Sharim pula menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian.
Mohammad Fakhruddin adalah Exco kanan kerajaan Pahang dan sudah menjadi Adun Bebar selama tiga penggal sebelum mula dilantik sebagai Exco Pahang sejak 2018.
Mohd Sharim pula dipilih sebagai Adun Chini pada Julai 2020 melalui pilihan raya kecil (PRK) selepas kerusi itu kosong apabila penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun meninggal dunia.
Beliau mengatasi dua calon Bebas dalam PRK itu, sekali gus meneruskan penguasaan Barisan Nasional (BN) di kerusi berkenaan.
Pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), Mohd Sharim mempertahankan kerusi itu menewaskan calon Perikatan Nasional, Razi Jalal dan calon Pakatan Harapan, Mohamad Yazid Che Mat.
Beliau memberitahu, keputusan bertanding pada pemilihan kali ini adalah bagi membalas kepercayaan Umno kepadanya.
“Saya rasa inilah cara terbaik untuk membalas semula kepercayaan parti, parti memilih saya pada PRK 2020 dan PRU15 sebagai calon.
“Apabila saya menang, jadi saya perlu memberikan semula (sumbangan) kepada parti dan saya fikir kalau dipilih sebagai timbalan ketua Umno Pekan, lebih banyak saya boleh sumbang untuk balas jasa mereka (Umno),” katanya.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan ada pemimpin Umno Pekan yang lain turut bertanding bagi jawatan itu, beliau berkata ia tidak akan menjadi masalah kerana ruang demokrasi dalam Umno terbuka luas kepada semua ahli.
“Saya tahu memang ada calon lain akan menawarkan diri, tidak mengapalah, ini menunjukkan Umno terus mendapat kepercayaan dan keyakinan ahli kerana masih ramai ingin menawarkan diri memegang jawatan tertentu dalam parti.
“Bagi saya, apabila saya buat keputusan (untuk bertanding), ia bukan untuk saya, tapi untuk memastikan suara anak muda, generasi muda terus mendapat perhatian pucuk pimpinan Umno peringkat bahagian mahu pun peringkat Pusat,” katanya lagi.
Difahamkan bendahari Umno Pekan, Datuk Ahmad Rahimi Samad juga akan menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan timbalan ketua Umno Pekan.
Proses penyerahan borang pencalonan bagi pertandingan jawatan peringkat bahagian akan ditutup pada 26 Februari ini.
Ditanya mengenai jawatan utama lain di peringkat bahagian Pekan, Mohd Sharim menjangkakan semua jawatan akan ada pertandingan.
“Semuanya mungkin ada pertandingan, macam (jawatan) ketua Umno Pekan memang ada pertandingan, timbalan pun ada, begitu juga naib ketua Umno bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri.
“Cuma kita kena tunggu 26 Februari, baru kita tahu berapa ramai yang hantar borang untuk bertanding,” katanya. – Malaysiapost