Bayi dua bulan maut dihempap abang ketika tidur
BAPA kepada Maryam Sofea berusia dua bulan, reda dengan kematian bayinya yang meninggal dunia dipercayai lemas akibat dihempap abangnya ketiganya berusia lima tahun ketika tidur.
Kejadian tersebut berlaku di kediaman mereka di Taman Bidara Setia, Masjid Tanah, Melaka awal pagi semalam.
Meor Syazalee Sha @ Meor Sha,38, dan isterinya enggan bercerita lanjut berkenaan kejadian itu kerana masih bersedih.
“Ini semua ketentuan Allah, saya dan isteri hanya mampu beristighfar saja.
“Memang sedih…nak kata tunggu anak perempuan tidaklah, tapi selepas dapat tiga anak lelaki dan dapat pula anak bongsu perempuan, syukur, ” katanya memetik Harian Metro.
Beliau yang bertugas sebagai pensyarah Kolej Kemahiran Tinggi Mara Masjid Tanah itu berkata isterinya hanya menyedari bayi mereka tidak sedarkan diri pada awal pagi semalam selepas mendapati Maryam tidak bergerak sebelum melihat anak lelaki berusia lima tahun tidur di sebelah bayi.
“Selepas mendapati bayi tidak bergerak, kami segera membawanya ke hospital sebelum disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.
Meor Syazalee berkata, beliau cuma berharap orang ramai dapat membantu agar tidak memberikan sebarang komen yang tidak sensitif yang hanya akan mengganggu emosi mereka sekeluarga.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu dilaporkan berkata hanya akan mengeluarkan kenyataan selepas mendapat hasil laporan bedah siasat. – Malaysiapost