Belanjawan 2023: Belanjawan rakyat
DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) berpandangan bahawa Belanjawan Malaysia Madani 2023 yang dibentangkan hari ini sebagai belanjawan rakyat.
Ketua Dewan Pemudanya, Shahir Adnan, berkata ia kerana tertumpu kepada cabaran-cabaran isu ekonomi rakyat dan isi rumah di samping cabaran hutang negara yang kini berjumlah RM1.5 trilion.
Menurutnya, walaupun peruntukan belanjawan meningkat, namun banyak manfaat yang rakyat perolehi pada waktu getir ini.
“Menariknya, belanjawan kali ini dirancang secara pendekatan holistik. Antaranya, memperkasa kerjasama antara pihak swasta dan awam dengan tidak membebankan kewangan negara melalui kerjasama dengan industri bagi melaksanakan TVET.
“DPIM mengambil contoh, Petronas akan menjalin kerjasama kluster minyak dan gas di Pengerang, Kimanis, Batu Rakit dan Miri.
“Khazanah pula menjalin kerjasama kluster perhotelan di Langkawi, manakala DRB Hicom menerajui kluster automotif di Pekan dan Sunway & Gamuda menerajui kluster pembinaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, dengan pendekatan itu, anak-anak muda mendapat latihan dan pekerjaan melalui syarikat-syarikat besar yang memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat, di samping merancakkan ekonomi tempatan.
Menurutnya, selain itu tahun 2023 juga diumumkan sebagai tahun menoktahkan kemiskinan tegar di Malaysia dalam usaha serius Kerajaan Perpaduan membantu rakyat melalui program bantuan tunai dan inisiatif pendapatan rakyat.
“Program pembasmian kemiskinan melalui sebahagian bayaran royalti dan wang ehsan adalah usaha meminimumkan beban sara hidup rakyat.
“Contoh lain adalah peruntukan sebanyak RM100 juta kepada 222 kawasan Parlimen untuk Jualan Rahmah, tanpa mengira Kawasan parlimen kerajaan atau pembangkang,” katanya.
Beliau berkata, DPIM menyokong semua usaha dan perancangan kerajaan bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat seperti pengurangan kadar cukai individu sebanyak dua peratus kepada golongan M40.
“Diharapkan semua ahli Dewan Rakyat menyokong usul Kerajaan Perpaduan yang memberikan kebaikan kepada rakyat. Kita tidak mahu ada mana-mana pihak yang menangguk di air keruh demi kelangsungan politik diri sendiri,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri membentangkan Belanjawan 2023 membabitkan peruntukan RM388.1 bilion, dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus dan RM99 bilion bagi belanja pembangunan, termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka. – Malaysiapost