Belanjawan 2023, belanjawan seimbang – TPM

Belanjawan 2023, belanjawan seimbang – TPM

BELANJAWAN Malaysia Madani 2023 yang selesai dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, hari ini disifatkan sebagai belanjawan seimbang antara pendapatan dan perbelanjaan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ini kerana jurang pengurangan pendapatan negara dan perbelanjaan berjaya diturunkan kepada lima peratus berbanding 5.6 peratus sebelum ini.

Menurutnya, secara keseluruhan ia turut memperlihatkan keprihatinan Kerajaan Perpaduan walaupun Pilihan Raya Umum (PRU) sudah berlalu.

“Biarpun pilihan raya sudah berlalu namun kumpulan sasaran masih dapat, bukan hanya diberikan ruang sama rata tetapi menunjukkan keprihatinan Kerajaan Perpaduan terhadap rakyat daripada pelbagai kelompok ekonomi,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri membentangkan belanjawan 2023 membabitkan peruntukan RM388.1 bilion, dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus dan RM99 bilion bagi belanja pembangunan, termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, belanjawan itu turut membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap 8.1 juta penduduk desa dengan penambahan peruntukan sebanyak RM500 juta berbanding tahun lalu.

Beliau berkata ia termasuk peningkatan harga siling getah dan bantuan musim tengkujuh bagi golongan pesawah serta pekebun kecil getah. – Malaysiapost

Komen