Bomba terbangkan bekalan makanan ke kampung Orang Asli di Gerik

Bomba terbangkan bekalan makanan ke kampung Orang Asli di Gerik

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu menghantar bekalan makanan menggunakan helikopter ke perkampungan Orang Asli di Kampung Sungai Kelab, Gerik, Perak, semalam yang terputus hubungan akibat tanah runtuh.

Jurucakap JBPM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihak Pangkalan Udara Wilayah Utara (PUWU), Kepala Batas menerima permohonan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk menghantar bekalan makanan terbabit.

Menurutnya, susulan itu pesawat AW139 (BOMBA 06) kemudian diterbangkan dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah (PUWT), Subang pada jam 8.20 pagi, semalam untuk operasi berkenaan.

“Pesawat berkenaan diterbangkan Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Zulkhairee Zabidi dan Penguasa Bomba Mohd Faridulahamin Mohd Noh serta dibantu tiga kru bertugas ke Lapangan Terbang Gerik, untuk mengambil bekalan makanan.

“Bakul makanan sejumlah 375 kilogram (kg) berbentuk barangan keperluan asas itu akan diagihkan kepada 21 ketua isi rumah masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Kelab, Gerik, Perak,” katanya.

Beliau berkata, kawasan penempatan tersebut telah mengalami kejadian tanah runtuh sehingga menyebabkan perhubungan jalan darat terputus.

“Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Penolong Penguasa Bomba Mohd Azizan Aziz serta dua pegawai JAKOA turut bersama-sama dalam operasi penghantaran bekalan makanan tersebut bagi tujuan rekod dan dokumentasi.

“Setelah tugasan selesai, pesawat berlepas pulang semula ke PUWT dan selamat tiba di pangkalan pada jam 5.33 petang semalam,” katanya. – Malaysiapost

Komen