Cikgu kena scam RM58,200

Cikgu kena scam RM58,200

AKIBAT terpedaya dengan taktik panggilan palsu Macau Scam, seorang guru mengalami kerugian sehingga RM58,200.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, guru berusia 53 tahun itu kehilangan hampir keseluruhan wang simpanannya selepas ditipu sindiket penipuan terbabit.

“Hasil siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, mangsa dipercayai menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai wakil syarikat penghantaran barang.

“Mangsa diberitahu kononnya terlibat dalam pengedaran barang terlarang dan Penggubahan Wang Haram sebelum menyambung panggilan kepada ‘pegawai polis’.

“Selepas perbualan itu mangsa tanpa berfikir panjang menyerahkan kata laluan perbankan internet empat bank miliknya kepada suspek.

“Mangsa juga menyerahkan nombor TAC yang diterimanya kepada suspek,” katanya dalam satu kenyataan di Kuantan, hari ini.

Ramli berkata, mangsa turut diarahkan untuk tidak menyemak akaun bank miliknya melalui perbankan internet dalam tempoh masa 24 jam.

Katanya, mangsa mula sedar ditipu setelah menyemak baki akaun bank dan terdapat transaksi pengeluaran wang ke akaun pihak ketiga.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – Malaysiapost

Komen