CUEPACS kecewa Belanjawan dilihat tak selesai tekanan kos sara hidup

CUEPACS kecewa Belanjawan dilihat tak selesai tekanan kos sara hidup

CUEPACS melahirkan rasa kecewa apabila Belanjawan 2023 dilihat tidak mampu menyelesaikan masalah tekanan kos sara hidup yang dihadapi oleh penjawat awam ketika ini.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata tiada sebarang komitmen diberikan kerajaan untuk menilai semula sistem saraan baharu perkhidmatan awam melalui model gaji dan upah yang mampu meningkatkan pendapatan penjawat awam supaya lebih baik berbanding peningkatan kos sara hidup.

Katanya, faktor gaji dan upah menjadi perkara mendesak ketika ini kerana kadar semasa tidak lagi relevan dengan peningkatan kos sara hidup yang naik mendadak terutama melibatkan keperluan asas seperti makanan, kesihatan dan perumahan.

“Inisiatif kerajaan memberikan pengurangan cukai pendapatan individu sebenarnya tidak memberi kesan besar kepada pendapatan boleh guna rakyat terutama penjawat awam.

“Lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300 melalui pengurangan cukai ini tidak menggambarkan situasi sebenar rakyat di luar sana.

“Penjawat awam ketika ini mengharapkan sebuah sistem saraan yang baharu memandangkan sistem saraan perkhidmatan awam yang digunapakai ketika ini sudah lama tidak dikaji iaitu sejak November 2002 dan tidak sesuai lagi dengan persekitaran ekonomi semasa,” katanya menerusi kenyataan.

Adnan berkata, seperti dinyatakan sebelum ini, kunci kepada negara untuk keluar daripada kancah kos sara hidup ini ialah dengan kaedah meningkatkan gaji dan upah pekerja di samping melaksanakan langkah-langkah mengawal kenaikkan kos sara hidup.

Begitu juga katanya, dalam hal pemilikan rumah mampu milik dalam kalangan penjawat awam juga tidak diberi tumpuan dalam belanjawan ini.

“Kerajaan sewajarnya memperkenal semula program perumahan mampu milik untuk penjawat awam seperti sebelum ini.

“Konsep rumah mampu milik seperti Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) yang dikhususkan kepada anggota ATM perlu diperluaskan kepada semua penjawat awam.

“Penjawat awam tidak meminta perumahan percuma kerana kami sanggup membelinya tetapi harga yang ditawarkan oleh pemaju ketika ini sangat tidak masuk akal dengan kadar gaji semasa penjawat awam,” katanya.

Katanya, CUEPACS berharap kerajaan masih terbuka untuk memperhalusi semula permintaan warga penjawat awam terutama dalam hal-hal melibatkan permasalahan kos sara hidup.

Sebelum ini tambahnya, sudah beberapa kali kerajaan mahu mengkaji sistem saraan perkhidmatan awam namun sehingga kini tiada apa-apa perkembangan atau khabar gembira yang diterima.

“Adalah besar harapan penjawat awam sekiranya kerajaan dapat mempertimbang pandangan dan keluhan kumpulan yang selama ini memberi sokongan yang penuh kepada agenda serta aspirasi kerajaan,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengucapkan terima kasih atas inisiatif kerajaan untuk meneruskan kebenaran penebusan awal Gantian Cuti Rehat sehingga 50 peratus iaitu maksimum 90 hari serta pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.

“Inisiatif ini merupakan perkara yang telah dilaksanakan oleh kerajaan-kerajaan sebelum ini dan kekal diteruskan oleh kerajaan semasa,” katanya. – Malaysiapost

Komen