Hantar borang pencalonan, Nasir Search bertanding Pemilihan Umno?
PEMAIN bass terkenal kumpulan Search, Nasir Daud telah menghantar borang pencalonan bagi pemilihan Umno bagi sessi 2023/2026, yang bakal berakhir Ahad ini.
Bagaimanapun, Nasir berkata, borang tersebut bukanlah pencalonan dirinya untuk mana-mana jawatan tetapi bagi isterinya Noraziah Saadon.
“Saya bukannya datang hendak bertanding pada pemilihan Umno 2023/2026, tetapi hadir mewakili isteri kerana dia ada mesyuarat di Umno Bahagian Kulai, Johor.
“Saya menghantar borang pemilihan ini untuk isteri saya Noraziah Saadon yang menawarkan diri sebagai Exco Wanita Umno dan doakan kejayaan beliau.
“Sebagai suami saya menyokong sepenuhnya beliau bertanding kerana telah lama terlibat dalam bidang politik, lebih 20 tahun. Penglibatannya semenjak dari muda sehingga sekarang dan inigin menceburi dengan lebih serius lagi dalam Umno,” katanya memetik Umno Online.
Nasir berkata, beliau mengharapkan agar seluruh ahli Umno dapat menyokong isterinya bagi jawatan tersebut.
Persidangan Tahunan Umno Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari serta akan berakhir pada 26 Februari 2023.
Pada 11 Mac 2023 akan diadakan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian. Pada tarikh yang sama turut akan diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.
Pemilihan Umno akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Umno Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT). – Malaysiapost