Hishammuddin dakwa peruntukan subsidi dikurangkan
AHLI Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendakwa Kementerian Kewangan menurunkan peruntukan subsidi tahun ini.
Beliau berkata, peruntukan itu menurun berbanding RM70 bilion seperti yang dibentangkan oleh bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, tahun lalu.
“Subsidi sudah dikurangkan daripada RM70 bilion kepada RM64 bilion. Jadi, apa yang jadi tanda tanya sekarang subsidi mana yang sudah dikurangkan?.
“Dan, harga apa yang akan meningkat kerana kekurangan subsidi berkenaan,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 hari ini mengumumkan kerajaan menyediakan dana RM64 bilion tahun ini dalam bentuk subsidi, bantuan serta insentif.
Dalam pada itu, Hishammuddin yang juga bekas Menteri Pertahanan gembira tumpuan terus diberikan kepada perumahan anggota tentera.
“Saya harap apa yang sudah pun diperuntuk dalam belanjawan kali ini untuk perumahan dapat diselaraskan dengan ‘blueprint’ perumahan kita yang sudah pun dibentangkan dulu sehingga 2030,” katanya.
Berkait selenggaraan dan perolehan aset keselamatan, beliau berkata, pengumuman pembinaan dan pembelian Kapal Misi Pesisir (LMS) akan diteruskan juga menggembirakan.
“Ini menggembirakan saya kerana mahu menunggu projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) akan mengambil masa. Jadi ‘stop-gap measure’ yang kita fikirkan dulu ialah untuk memperolehi LMS kita.
“Cuma saya harap LMS fasa kedua ini akan dilengkapkan dengan persenjataan yang mencukupi, dalam kita menunggu mahu hidupkan semula projek LCS,” katanya. – Malaysiapost