Iltizam kerajaan noktahkan miskin tegar – Anwar
ILTIZAM Kerajaan hari ini adalah untuk menoktahkan kemiskinan tegar, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata kira-kira 130,000 rakyat tersusah tanpa mengira latar belakang kaum akan segera dibantu untuk keluar daripada belenggu kemiskinan melalui langkah yang lebih menyeluruh.
Kerajaan katanya, akan melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang akan menumpukan kepada pengupayaan golongan miskin supaya meningkatkan potensi pendapatan.
“Sejumlah RM750 juta peruntukan disediakan untuk tahun 2023 kepada Kementerian Ekonomi bagi menjayakan IPR.
“Beberapa pendekatan baharu akan dilaksana untuk mengatasi kelemahan pelaksanaan lalu bagi meningkatkan keupayaan isi rumah miskin tegar meraih pendapatan. Antaranya:
- Bantuan dan kemudahan kepada peserta tidak lagi diberikan sekali gus tetapi secara bulanan dan dipantau sama ada sewa beli
kelengkapan atau subsidi penggajian untuk majikan yang mengambil peserta miskin tegar bekerja. - Aktiviti ekonomi disertai hendaklah yang memenuhi keperluan komuniti setempat terutamanya sektor agropertanian dan makanan untuk memastikan permintaan berterusan.
- Program ini menyasarkan untuk peserta meraih pendapatan antara RM2,000 hingga RM2,500 dalam tempoh pemantauan 24 bulan dan selepas itu dapat menjana pendapatan sendiri melalui hasil yang
diperolehi,” katanya. – Malaysiapost