Kerajaan perkukuh NSRC tangani jenayah scam

Kerajaan perkukuh NSRC tangani jenayah scam

KERAJAAN menyediakan sejumlah RM10 juta sebagai geran pengoperasian dalam usaha mengukuhkan peranan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi menangani jenayah penipuan dalam talian atau scam yang kini semakin parah.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi tahun 2022 sahaja, lebih 25,000 jenayah berkenaan direkodkan dengan kerugian sebanyak RM850 juta.

“Walaupun Kerajaan telah menubuhkan NSRC, tetapi belum ada dasar seragam dalam menangani isu ini kerana setiap institusi perbankan mengeluarkan garis panduan masing-masing.

“Bagi mengukuhkan peranan NSRC, sejumlah RM10 juta disediakan bagi geran pengoperasian,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Malaysia Madani 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) juga akan menguatkuasakan dasar “kill switch” kepada semua institusi perbankan.

“Ini bagi membolehkan pengguna sendiri mengambil tindakan segera membekukan akaun mereka termasuk kad ATM daripada digunakan sekiranya terdapat aktiviti yang mencurigakan,” katanya. – Malaysiapost

Komen