Kerajaan setuju kurangkan cukai pendapatan individu kumpulan M40
DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersetuju menambah pendapatan boleh guna M40 melalui pengurangan kadar cukai pendapatan individu yang memberi lebih manfaat kepada mereka.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan berkata selama ini golongan B40 sering diberi pelbagai bentuk bantuan
sementara kumpulan pertengahan, M40 menunjukkan kesabaran mereka meski terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup yang mencengkam.
Sehubungan itu katanya, bermula 2023, kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan sebanyak 2 peratus melibatkan banjaran lebih RM35,000 hingga RM100,000.
“Pengurangan ini dijangka dapat memberi kira-kira 2.4 juta pembayar cukai dengan lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 hari ini.
Menurut Anwar, kerajaan akan mengambil
pendekatan yang progresif iaitu sementara M40 mendapat manfaat daripada
pengurangan kadar cukai, kerajaan akan menaikkan kadar cukai bagi mereka yang berpendapatan tinggi antara 0.5 sehingga 2 peratus.
Tambahnya, ia melibatkan banjaran lebih RM100,000 hingga RM1 juta.
“Namun, kurang daripada 150,000 pembayar cukai akan dikenakan cukai yang lebih tinggi.
“Melalui pendekatan ini, langkah ini melibatkan pengurangan hasil cukai bersih kerajaan sebanyak RM900 juta untuk manfaat rakyat khususnya M40,” katanya. – Malaysiapost