Kerajaan tak jadi hapuskan hutang peneroka FELDA berjumlah RM8 bilion

Kerajaan tak jadi hapuskan hutang peneroka FELDA berjumlah RM8 bilion

KERAJAAN tidak dapat meneruskan pelaksanaan penghapusan hutang peneroka FELDA berjumlah RM8 bilion, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.

Cadangan penghapusan itu diperkenalkan ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2021.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata ini kerana penghapusan hutang peneroka FELDA secara berterusan memberi impak besar terhadap aliran tunai entiti itu.

Oleh itu, katanya, kutipan balik baki hutang atau pinjaman yang dikeluarkan sehingga kini, perlu terus dilakukan sebagai sumber pendapatan FELDA untuk kelangsungan organisasi serta kebajikan warga peneroka.

“Hal ini disebabkan kutipan hutang peneroka FELDA adalah salah satu sumber pendapatan FELDA yang penting.

“Ia bersamaan dengan 10.8 peratus jumlah pendapatan jangkaan bagi tahun ini, ” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) yang meminta Perdana Menteri menyatakan pendirian kerajaan untuk meneruskan usaha menghapuskan hutang FELDA.

Pada Julai 2021, Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri kelapan, mengumumkan kerajaan secara dasar bersetuju dengan cadangan FELDA untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

Beliau dilaporkan berkata, ia akan dilaksanakan menerusi inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat, terutama bagi generasi awal yang berkorban keringat dan air mata untuk membolehkan program rancangan pembangunan tanah berkenaan dijayakan.

Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff, dipetik berkata pengumuman itu cukup bermakna kepada 112,638 peneroka FELDA di seluruh negara yang menanti berita tersebut.

Mengulas lanjut, Azalina berkata walaupun kerajaan tidak dapat meneruskan penghapusan hutang peneroka, FELDA tetap komited membantu golongan tersebut.

Katanya ini termasuk melaksanakan inisiatif bagi memastikan hutang peneroka tidak terus meningkat, terutama berkaitan hutang ladang.

“Antara usaha dilaksanakan FELDA ialah pengurangan tempoh pengurusan program pembangunan tanam semula ladang, iaitu pemberian pinjaman sara hidup disingkatkan daripada lapan kepada empat tahun.

“Selain itu, FELDA melaksanakan program tanam semula menggunakan baka sawit terbaharu yang mempunyai kadar pengeluaran hasil lebih tinggi hingga 16 tan sehektar pada bulan ke-48.

“Dengan usaha itu, pendapatan peneroka dapat ditingkatkan dalam masa lebih singkat disebabkan mereka mula dibayar hasil atau pendapatan sebenar ladang bermula tahun kelima,” katanya. – Malaysiapost

Komen