MB Pahang serah borang tanding Naib Presiden Umno
PENGERUSI Umno Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menjadi pemimpin parti yang kelima menawarkan diri bertanding bagi jawatan naib presiden Umno.
Menteri Besar Pahang itu menghantar borang pencalonannya di Auditorium Umno di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, kira-kira jam 3 petang tadi.
Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelai selama enam penggal dilantik Menteri Besar Pahang selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
Pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), dia sekali lagi dipilih sebagai menteri besar selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bersetuju untuk menjalinkan kerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan di Pahang.
Ini susulan tiada parti boleh menubuhkan kerajaan di Pahang pasca PRU15 berikutan BN hanya memenangi 16 kerusi dewan undangan negeri (Dun) dan Perikatan Nasional (PN) mendapat 17 kerusi DUN. PH Pahang pula memperoleh lapan kerusi DUN.
BN Pahang kemudiannya menambah satu lagi kerusi DUN – menjadikan jumlah 17 kerusi Dun, selepas memenangi pilihan raya Tioman pada Disember lalu.
Sebelum ini ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut mengesahkan bertanding merebut jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti itu.
Johari adalah Ahli Parlimen Titiwangsa dan sudah menghantar borang pencalonannya pagi tadi.
Johari adalah pemimpin parti kelima yang menyerahkan borang pencalonan bagi merebut tiga jawatan tertinggi Umno itu, dengan tempoh pencalonan juga masih dibuka sehingga Ahad ini.
Sebelum ini, penyandang naib presiden iaitu ahli parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid sudah menyerahkan borang pencalonan masing-masing bagi mempertahankan jawatan.
Selain itu, ahli MKT, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Pengerusi Umno Johor yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad turut menghantar pencalonannya bagi jawatan sama.
Saingan bagi jawatan naib presiden Umno menjadi tumpuan pada pemilihan Umno kali ini, selepas dua jawatan utama, Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.
Selain empat pemimpin Umno itu, turut dijangka mengemukakan pencalonan bagi jawatan Naib Presiden adalah Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, juga dikhabarkan mengintai peluang sama.
Sehingga petang ini, hanya tinggal ahli parlimen Bera, Ismail Sabri Yaakob, yang juga bekas perdana menteri belum memutuskan sama ada akan mempertahankan atau tidak jawatan naib presiden Umno disandangnya ketika ini. – Malaysiapost