Mohamad Shafiq tuduh SPRM cuba aniaya dirinya
INDIVIDU yang mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menawarkan RM10 juta kepada bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, tampil menuduh agensi berkenaan cuba menganiayanya pula.
Dalam satu video dimuatnaik di laman Facebooknya, malam tadi, Mohamad Shafiq Abdul Halim mendakwa dia disuruh mengaku mengambil dadah dan mengaku gila agar kes dapat diselesaikan.
Menurutnya, perkara itu berlaku ketika dia hadir ke pejabat SPRM di Putrajaya kelmarin berhubung penularan video berdurasi 44 saat membabitkan dirinya yang mendakwa agensi berkenaan menawarkan RM10 juta kepada Wan Saiful.
Selain itu, Mohamad Shafiq turut mendakwa beliau kini seperti diintip dengan segala pergerakkannya dan keluarga seolah-olah diikuti serta diburu seperti pelarian yang dikehendaki hingga membuatkan dirinya berasa tidak selamat.
“Saya diminta untuk mengakui bahawa saya mengambil dadah dan diberitahu akan diambil ujian saringan air kencing dan sebagainya.
“Saya sedia melakukannya di balai polis berdekatan kerana saya bekas anggota (polis) dan saya tahu yang boleh ambil ujian air kencing saya adalah anggota polis berpangkat sarjan dan ke atas sahaja.
“Mereka tidak lakukan ujian saringan air kencing itu, tetapi saya diminta mengaku mengambil dadah dan saya juga diminta mengaku sebagai gila, pernah dimasukkan dalam wad gila dan sebagainya kononnya untuk menyelamatkan saya,” katanya.
Menurutnya, dia menegaskan tidak gila dan meminta ke hospital untuk membuat pemeriksaan sekiranya ingin menentukan status kesihatan mentalnya.
“Mereka kata mereka nak selamatkan saya, kalau saya kata saya gila saya akan selamat jadi selesai kes,” katanya mendakwa ditemu bual oleh kira-kira tujuh pegawai SPRM di bilik siasatan nombor 13, tingkat bawah bangunan SPRM Putrajaya.
Katanya, selain daripada itu mesej-mesej peribadinya di aplikasi media sosial termasuk WhatsApp turut dibaca oleh seorang daripada pegawai SPRM berkenaan.
Menurutnya, lebih pelik apabila tiada sebarang laporan polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai video tular berdurasi 44 saat yang dikaitkan dengan dirinya.
Katanya selepas dibebaskan, seorang daripada pegawai berkenaan menghubungi dan meminta untuk menyerahkan telefon bimbitnya kepada pihak SPRM.
“Saya menyatakan akan menyerahkan telefon berkenaan selepas membuat laporan polis, namun saya dihalang berbuat demikian kononnya tidak mahu kes berkenaan menjadi lebih rumit,” katanya.
Mohamad Shafiq berkata, sekarang dia berada diluar negara untuk menenangkan diri kerana trauma dan berasa tertekan dengan apa yang dihadapi serta terpaksa menutup semua talian telefon kerana ketakutan.
“Saya akan buat laporan polis selepas mendapat pandangan daripada peguam saya,” katanya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki semalam, mengesahkan pihaknya menahan individu yang menuduh SPRM menawarkan RM10 juta kepada Wan Saiful Wan Jan untuk membabitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kes rasuah.
Menurutnya, lelaki itu akan disiasat mengikut Seksyen 48 Akta SPRM 2009 kerana mengganggu siasatan berkaitan projek Jana Wibawa. – Malaysiapost