Orang Islam kecam replika senjata jahil murakkab – Abdul Hadi

Orang Islam kecam replika senjata jahil murakkab – Abdul Hadi

UMAT Islam yang mengecam penggunaan replika senjata ketika perarakan program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2023 disifatkan sebagai jahil murakkab.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sekiranya yang berburuk sangka itu dalam kalangan bukan Islam, biarkan ia musnah dengan kemarahan melulu berkenaan.

“Jika ada orang Islam yang risau melihat replika kayu atau plastik yang tidak boleh membunuh berada di tangan orang Islam, keadaan itu menunjukkan mereka itu sangat jahil murakkab,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Jelasnya, umat Islam adalah golongan yang paling beradab dalam menggunakan senjata kerana hukum syariat Islam telah menentukan sempadan dosa dan pahala membabitkan semua perkara.

Hal ini, katanya, berbeza sama sekali dengan agama dan ideologi ciptaan manusia yang sangat lemah sehingga menyebabkan berlaku jenayah yang tidak terkawal termasuklah sanggup membunuh diri sendiri.

“Islam mengharamkan senjata pemusnah seperti bom atom dan senjata nuklear yang lebih ganas daripada binatang.

“Selain itu, Islam juga mengharamkan jenayah membunuh diri sendiri dan orang lain kerana dihitung dalam perkiraan dosa besar yang keras hukumnya di dunia dan di akhirat,” katanya.

Menurutnya, walaupun Islam menggalakkan dan mendahulukan perdamaian, namun Allah SWT serta Rasulullah SAW mewajibkan penganutnya agar sentiasa bersiap siaga dengan senjata yang sesuai pada zaman dan cabarannya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, pada hari ini banyak sikap ‘double standard’ terhadap umat Islam di serata dunia dengan mengehadkan kemampuan golongan itu dalam teknologi persenjataan.

Dakwanya, mereka lebih suka jika umat Islam menari dan bersukan yang berunsur maksiat.

“Ini menyebabkan umat Islam terleka daripada menguasai seni mempertahankan diri dan sukan seperti memanah, menggunakan senjata seni mempertahankan diri dan lain-lain.

“Apa yang dilakukan oleh penjajah adalah semata-mata supaya umat Islam menjadi kaum yang lemah,” katanya.

Penggunaan barangan replika pedang dan kostum pakaian tentera Islam berkait perarakan pada program HIMPIT 2023 Jumaat lalu mencetuskan polemik di media sosial.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menyifatkan penganjuran perarakan bersama replika senjata dalam satu perhimpunan terbuka adalah tidak wajar dan mengundang keresahan awam. – Malaysiapost

Komen