Pelupusan hutang peneroka Felda RM8.3 bilion telah selesai
PELUPUSAN sebahagian hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berjumlah RM8.3 bilion daripada jumlah keseluruhan RM12.1 bilion telah selesai dilaksanakan pada tahun 2021.
Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh menjelaskan keputusan itu tidak pernah dibatalkan oleh mana-mana kerajaan termasuk Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, semua peneroka yang menandatangani perjanjian pelupusan hutang tersebut telah menikmati manfaat dengan bayaran kembali pinjaman yang jauh lebih rendah dan mampu dibayar.
“Buat masa ini, Felda tidak dapat melaksanakan pelupusan hutang kali kedua memandangkan pelupusan yang dilaksanakan pada tahun 2021 telah memberi impak yang besar kepada aliran tunai Felda.
“Bayaran kembali baki pinjaman kini diteruskan seperti perjanjian pelupusan hutang tersebut demi menjamin kelangsungan organisasi dan membolehkan Felda terus menjaga kebajikan warga peneroka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat berhubung pelupusan hutang peneroka Felda.
Menurut Azalina, kerajaan tidak dapat meneruskan pelaksanaan penghapusan hutang peneroka Felda berjumlah RM8 bilion yang diperkenalkan ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2021.
Azalina berkata, ini kerana penghapusan hutang peneroka Felda secara berterusan memberi impak besar terhadap aliran tunai entiti itu.
Mengulas lanjut, Idris berkata, kerajaan melalui Felda tetap komited untuk terus membantu peneroka dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan pendapatan golongan itu serta memastikan hutang mereka tidak terus meningkat.
“Komitmen ini telah terbukti apabila pada tahun 2022, purata produktiviti ladang peneroka telah meningkat sehingga 19.43 tan per hektar setahun berbanding 17.29 tan per hektar sebelum ini, peningkatan lebih 12 peratus.
“Ini sekali gus akan dapat memberikan pulangan pendapatan yang lebih tinggi kepada warga peneroka Felda,” katanya. – Malaysiapost