Perkeso akan pinda akta beri manfaat wanita kembali bekerja selepas bersalin
KERAJAAN Perpaduan sensitif akan keperluan kaum wanita terutamanya mereka yang terpaksa berhenti bekerja selepas tempoh cuti bersalin untuk menjaga anak-anak kerana kos penjagaan kanak-kanak yang tinggi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata dalam menggalakkan wanita kembali bekerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan meminda aktanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan, berkata pindaan itu bagi membolehkan pemberian geran bersamaan 80 peratus daripada nilai gaji yang diinsuranskan pekerja.
“Dianggarkan lebih 130,000 wanita yang kembali bekerja selepas bersalin akan mendapat manfaat daripada geran ini melibatkan dana RM290 juta setahun,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Malaysia Madani 2023, hari ini.
Perdana Menteri juga menyeru supaya majikan memainkan peranan untuk turut bertanggungjawab penyediaan pusat jagaan kanak-kanak di pejabat.
“Kerajaan akan terus memudah cara garis panduan untuk pusat jagaan kanak-kanak di pejabat termasuk membenarkan penyediaan pusat jagaan di aras pejabat yang lebih tinggi.
“Insentif cukai sedia ada juga akan dilanjutkan bagi elaun jagaan kanak-kanak serta kos menyediakan pusat jagaan di pejabat.
“Jika sambutan daripada majikan kurang menggalakkan, Kerajaan akan meneliti keperluan untuk mewajibkan penyediaan kemudahan tersebut demi menyokong ibu yang bekerja,” katanya.
Beliau berkata, pada masa sama, Kerajaan akan memudah cara proses pendaftaran dan memulakan semula program pemutihan taska dan pusat penjagaan kanak-kanak yang belum berdaftar di seluruh negara.
“Sejumlah RM15 juta disediakan sebagai pinjaman mudah bagi membantu para pengusaha.
“Kepada penjawat awam, Kerajaan akan menyediakan subsidi yuran taska RM180 sebulan selain menaikkan had kelayakan pendapatan bulanan isi rumah yang layak daripada RM5,000 kepada RM7,000.
“Terkait hal yang sama, bagi memperluas akses pendidikan awal kanak-kanak, Kerajaan akan meneruskan pembinaan 80 taska dan tabika KEMAS termasuk 13 projek baharu,” katanya. – Malaysiapost