Pesawah terima RM200, pekebun getah RM800 sebulan bantuan musim tengkujuh

Pesawah terima RM200, pekebun getah RM800 sebulan bantuan musim tengkujuh

GOLONGAN pesawah dan pekebun kecil getah turut diberi perhatian dalam Belanjawan Malaysia Madani 2023, yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, rakyat yang meraih pendapatan sebagai pesawah dan pekebun kecil getah terus diberi bantuan sewajarnya.

Beliau berkata, mereka adalah kelompok miskin yang bertarung dengan cuaca tidak menentu, terutama sewaktu musim tengkujuh untuk meraih pendapatan.

Katanya, kepada para pesawah padi, kerajaan akan meneruskan penyaluran pelbagai subsidi dan insentif seperti harga padi, baja padi dan padi huma dengan peruntukan RM1.6 bilion.

“Sumbangan tunai turut diberikan kepada pesawah padi sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh tiga bulan atau semusim melibatkan 240,000 pesawah dengan peruntukan RM228 juta,” katanya.

Anwar juga sekali lagi mengucap terima kasih dan penghargaan atas kesudian Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) untuk menyumbang sejumlah dana bagi membantu para pesawah miskin.

“Ini tentunya dapat membantu dan menambah keperluan hidup para pesawah.

“Selain sumbangan RM60 juta yang disediakan, BERNAS turut bersetuju membuat perkongsian keuntungan daripada import beras dengan menyumbang 30 peratus keuntungan bersih kepada pesawah padi,” katanya.

Menurutnya, kerajaan peka akan kenaikan kos pengeluaran dan penurunan harga getah yang agak membebankan pekebun kecil getah.

“Bagi meningkatkan pendapatan minimum penoreh getah, kerajaan bersetuju untuk menaikkan Paras Harga Pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram dengan peruntukan RM350 juta.

“Melalui kenaikan ini, saya menggesa Lembaga Getah Malaysia (LGM) memudah cara kaedah tuntutan terutamanya melibatkan pekebun kecil yang terpaksa keluar berpuluh kilometer hanya untuk mendapatkan insentif tersebut.

“Ini tidak boleh lagi menjadi amalan kerana menyusahkan rakyat. Saya mahu, LGM lebih responsif turun padang menguruskan tuntutan pekebun kecil dan mula bertindak proaktif dalam soal penyaluran tuntutan,” tegasnya.

Beliau berkata, selanjutnya, kerajaan turut bersetuju menaikkan sumbangan musim tengkujuh daripada RM600 kepada RM800 untuk tempoh empat bulan.

“Ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung 320,000 pekebun kecil dengan peruntukan RM256 juta,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan menyediakan RM50 juta untuk menggunakan ‘Cuplump Modified Bitumin’ (CMB) atau bahan daripada getah bagi penyelenggaraan jalan yang dilihat lebih memanjangkan jangka hayat jalan. – Malaysiapost

Komen