Remaja ditemui maut dalam kebakaran rumah

Remaja ditemui maut dalam kebakaran rumah

SEORANG remaja perempuan ditemui meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas selepas rumahnya di Kampung Besah, Kuala Ketil, Baling musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Kebakaran dipercayai berlaku ja m 6.40 pagi dan pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling dilaporkan menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 7.08 pagi.

Berita sedih itu turut dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Ketil Mejar (Bersara) Mansor Zakaria, dalam satu hantaran di laman Facebook.

Menurutnya, beliau dimaklumkan remaja terbabit, Nor Batrisha Razali, 14, ditemui di dalam bilik tidur oleh pasukan bomba di tingkat bawah rumah berkenaan.

“Sewaktu tiba di lokasi kebakaran pihak bomba dikhabarkan terdapat seorang mangsa yang berumur 14 tahun yang masih terperangkap di dalam rumah.

“Nor Batrisha sebelum ini tinggal bersama ibunya di Kampung Lahar Parang dan pergi ke rumah ayahnya (lokasi kejadian) kelmarin untuk tidur bersama ayah dan ibu tirinya semasa cuti sekolah,” katanya yang turut melawat lokasi kejadian.

Menurutnya, beliau mendapat makluman mengenai kejadian daripada Penghulu Mukim Teloi Kanan, Muhd Effy Izuan.

“Rumah terbakar hampir 90 peratus. Ucapan takziah dari saya untuk keluarga mangsa,” katanya. – Malaysiapost

Komen