RM50 juta naik taraf 3,000 gerai, kiosk penjaja kecil

RM50 juta naik taraf 3,000 gerai, kiosk penjaja kecil

SEBANYAK RM50 juta diperuntukkan bagi membina baharu dan menaik taraf 3,000 gerai dan kiosk sebagai kemudahan penjaja kecil berniaga di lokasi tumpuan seluruh negara.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejumlah RM176 juta turut disediakan bagi menaik taraf premis dan kemudahan perniagaan antaranya di bawah MARA, Dewan Banadaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA).

“Agensi-agensi kerajaan akan terus menyediakan pelbagai kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan untuk manfaat syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan nilai keseluruhan sehingga RM40 bilion,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) menyediakan RM330 juta, termasuk RM10 juta bagi membantu belia daripada keluarga susah, untuk meraih pendapatan melalui perniagaan.

Menurutnya, mereka diberi modal untuk memulakan perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal.

“Kerajaan juga bersetuju untuk menanggung bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2 dan lesen teksi, bas serta e-hailing,” katanya.

Bagi perniagaan kecil dan sederhana (PKS) pula, Anwar berkata, hampir RM10 bilion dana pinjaman disediakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meringankan beban kewangan PKS dan menyokong pengembangan perniagaan.

Katanya, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) juga sedia menjamin sehingga RM20 bilion pinjaman PKS dengan sektor tumpuan seperti teknologi tinggi, pertanian dan pembuatan diberi jaminan kerajaan sehingga 90 peratus.

“Jaminan juga diperluas kepada pembiayaan oleh institusi kewangan bukan perbankan seperti syarikat pajakan kredit dan koperasi supaya dapat memberi manfaat khusus kepada penjaja kecil,” katanya. – Malaysiapost

Komen