RM70 juta untuk baik pulih jalan rosak di Kuantan

RM70 juta untuk baik pulih jalan rosak di Kuantan

Ben Ibrahim

PERUNTUKAN berjumlah RM70 juta diperlukan Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Kuantan bagi kerja baik pulih jalan yang rosak di daerah ini.

Jumlah itu adalah berdasarkan permohonan dikemukakan JKR Kuantan kepada Kementerian Kerja Raya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah, Andansura Rabu berkata, peruntukan itu membabitkan kerja penyelenggaraan ‘pavement’ dan bukan ‘pavement’ di lebih 60 seksyen jalan Persekutuan di daerah Kuantan.

“Maklumat ini dikongsi oleh Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (Menteri Kerja Raya) melalui surat yang dihantar kepada saya pada Isnin lalu.

“Saya hargai kesediaan beliau memberi keutamaan dan diharapkan peruntukan segera (diberikan) kepada JKR Kuantan untuk kerja baik pulih ini.

“Jumlah (permohonan) RM70 juta itu adalah untuk kerja (baik pulih) keseluruhan jalan rosak dan untuk keperluan kecemasan, JKR Kuantan memerlukan RM1.3 juta dan ini perlu diluluskan segera,” katanya.

Andansura yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, antara lokasi mengalami kerosakan kritikal dan perlu dibaiki secepat mungkin adalah Persimpangan Jabor-Jerangau, persimpangan lampu isyarat Balok, persimpangan lampu isyarat Semambu dan persimpangan lampu isyarat Bukit Rangin.

Selain itu, persimpangan lampu isyarat Pelabuhan dan jalan Kuantan-Kemaman berhampiran simpang pasar Beserah juga perlu dibaik pulih segera.

“Kalau boleh kelulusan dan kerja baik pulih boleh dilakukan dalam masa terdekat, sebelum musim perayaan Aidilfitri bulan April nanti,” katanya. – Malaysiapost

Photo from Wanfai Ismayatim

Komen