Selepas 25 tahun, Anwar sekali lagi bentang belanjawan negara

Selepas 25 tahun, Anwar sekali lagi bentang belanjawan negara

PADA 17 Oktober 1997 – lebih 25 tahun lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Bajet 1998 di Dewan Rakyat ketika bergelar Menteri Kewangan.

Ketika itu beliau juga Timbalan Perdana Menteri di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selepas 26 tahun, Anwar petang ini kembali membentangkan Belanjawan 2023 – kali ini sebagai Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan kerajaan perpaduan pimpinannya.

Belanjawan 2023 Malaysia MADANI menarik perhatian ramai serta sudah pasti ditunggu-tunggu oleh rakyat yang mengharapkan kerajaan perpaduan mengumumkan berita gembira, khususnya ketika ramai masih dibelenggu kesan pandemik Covid-19.

Rakyat pasti menanti apakah inisiatif kerajaan perpaduan dalam mengurangkan beban mereka, khususnya kos sara hidup yang kian meningkat walaupun pelbagai janji ditabur sebelum Pilihan Raya Umum lalu.

Golongan B40 serta M40 pasti menanti adakah akan ada bantuan tunai diumumkan.

Ini kerana ramai mula berkira-kira untuk menyediakan kelengkapan sesi baharu persekolahan yang bermula pada 19 dan 20 Mac depan, disusuli Ramadan beberapa hari kemudian sekali gus Aidilfitri yang bakal menjelang tiba selepas itu.

Apa yang pasti, harapan sebahagian rakyat untuk mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak akan menjadi kenyataan.

Ini kerana Perdana Menteri sebelum ini telah menyatakan pendirian bahawa kerajaan tidak lagi membenarkan pengeluaran KWSP, sebaliknya akan memberikan bantuan lain kepada rakyat yang memerlukan.

Pada 20 Disember lalu, Perdana Menteri membentangkan peruntukan khas (Bajet Mini) di bawah Akta Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang berkuat kuasa 1 Januari 2023 bagi tujuan perbelanjaan perkhidmatan membabitkan wang RM107,718,676,650.

Sebelum ini, Bajet 2023 yang disediakan kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak sempat dibahas dan diluluskan, sebelum terbubarnya Parlimen pada 10 Oktober 2022 bagi memberi laluan untuk PRU15. – Malaysiapost

Komen