‘Semoga Allah gantikan dengan nikmat buatku dan anak-anak’
SETELAH tersebar berita mengejutkan mengenai penceraian pelakon Hafidz Roshdi, isterinya Nurul Shuhada Mat Shukri tampil memberi bayangan mengharapkan sesuatu nikmat yang lebih baik buat dirinya dan anak-anak.
Nurul Shuhada menerusi hantaran di Insta Story, menitipkan doa agar Allah SWT menggantikan ujian kemelut rumah tangganya itu dengan nikmat yang lebih baik.
“Insya-Allah, semoga Allah gantikan dengan nikmat tidak disangka buatku dan anak-anak. Amin Ya Mujib.
“Orang yang betul tahu bagaimana untuk mempertahankan cinta. Orang yang betul juga memilih awak sebagaimana awak memilihnya dengan setulus hati.
“Awak tidak akan berdiam diri jika peduli dan tidak perlu berasa keterlaluan. Awak juga tidak perlu merayu untuk cinta yang memang selayaknya buat awak,” tulisnya.
Dalam hantaran itu juga Nurul Shuhada turut menggambarkan bagaimana berjuang menguatkan sesuatu hubungan bersendirian, dan menyebut mengenai ‘orang yang salah’.
“Satu hari nanti, awak akan menjadi seseorang dan tidak akan keliru lagi. Awak tidak akan rasa berjuang untuk seseorang yang tidak pernah berjuang untuk awak.
“Satu hari nanti, awak akan mengerti bagaimana erat menggenggam seseorang yang salah, betapa kuatnya mencuba, insan yang tepat akan sentiasa mencari dan terus kekal bersama,” kongsinya meluahkan perasaan.
Kemelut rumah tangga Hafidz dan Nurul Shuhada yang menjadi bualan ramai sejak kebelakangan ini akhirnya dinoktahkan.
Pelakon berusia 29 tahun itu sah bercerai talak satu dengan Nurul Shuhada menerusi panggilan telefon semalam.
Terdahulu, kemelut rumah tangga Hafidz mula diperkatakan ramai apabila isterinya mendedahkan pelakon itu ada hubungan dengan wanita lain.
Untuk rekod, Hafidz mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata. – Malaysiapost