Shamsul Anuar pertahan jawatan MKT Umno

Shamsul Anuar pertahan jawatan MKT Umno

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah mengesahkan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti kali ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri itu berkata, borang pencalonan telah dihantar hari ini dan keputusan berkenaan dibuat selepas membuat pertimbangan mendalam serta sewajarnya.

“Saya memutuskan untuk mempertahankan kedudukan sebagai Ahli MKT Umno.

“Maka dengan rendah diri, saya sekali lagi menawarkan diri dan ingin mempertahankan jawatan terbabit bagi sesi 2023-2026,” katanya menerusi Facebook malam ini.

Menurutnya, beliau tidak mempunyai niat lain melainkan kerana Allah dan ingin berbakti kepada parti demi perjuangan untuk agama, bangsa dan negara tercinta.

“Justeru dengan rendah diri saya mohon bantuan dan sokongan semua agar saya dapat terus berbakti kepada parti.

“Paling utama kesetiaan saya tetap kepada parti. Saya hanya ingin berkhidmat serta berbakti,” katanya.

Shamsul Anuar juga berikrar, akan melakukan apa sahaja demi Umno selagi perjuangan parti tidak lari dari prinsip serta ideologinya. – Malaysiapost

Komen