Siasatan terhadap hakim kes Najib dibuat tak ikut protokol – Tengku Maimum

Siasatan terhadap hakim kes Najib dibuat tak ikut protokol – Tengku Maimum

MAHKAMAH Persekutuan hari ini memutuskan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap hakim yang memutuskan sabitan dan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak, dibuat tanpa mengikut protokol.

Panel tujuh hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara memutuskan SPRM menjalankan siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali tanpa berunding dengannya terlebih dahulu, lapor Malaysiakini.

Ketika membacakan pemerhatian panel hakim, Tengku Maimun membangkitkan persoalan masa siasatan tersebut diuar-uarkan, iaitu sebelum rayuan Najib dalam kes SRC di Mahkamah Persekutuan tahun lalu.

Keputusan hari ini berhubung rujukan persoalan undang-undang berkaitan saman terhadap SPRM berhubung siasatannya ke atas Nazlan.

Ketika membacakan penghakiman ringkas, Tengku maimun berkata sementara Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada badan siasatan jenayah seperti SPRM untuk menyiasat hakim serta membolehkan Pendakwa Raya memulakan prosiding di mahkamah jenayah terhadap hakim tersebut, kuasa itu perlu dilaksanakan dengan niat baik dan dalam kes tulen.

Katanya, ia penting bagi menjamin badan kehakiman dapat menjalankan tanggungjawab secara bebas dan tanpa pengaruh luar.

“Dengan mengambil kira ketinggian (sacrosanct) kebebasan kehakiman, Perlembagaan Persekutuan meletakkan standard lebih tinggi terhadap badan siasatan ketika menyiasat hakim.

“Jika dapat ditunjukkan yang siasatan dibuat memiliki tujuan lain, siasatan boleh diketepikan apabila semakan kehakiman (yang mencabar siasatan seumpama itu) dibuat terhadapnya,” kata Tengku Maimun. – Malaysiapost

Komen